"Uncle hensem... dah besar nanti Baby nak kahwin dengan uncle hensem."
"baby tau tak maksud hensem?"
"Tak... Baby dengar dari Kak Teh dekat taska."
"Baby tahu tak kahwin tu apa?"
"Tak.... ehh... tahu.... tahu.... kahwin tu macam Abi dengan Ummi. Uncle hensem nanti kahwin dengan Baby tau bila baby dah besar."
"Okey."
"Janji?"
"Janji."
Kerana janji.....
*****
AKU mengerling dia yang sedang meruap muka. Sudah berpuluh-puluh kali dia meruap sejak keluar dari bilik Abi. Nak ditanya, takut pula melihat wajah dia yang keruh tu. Jadi, soalan yang berligar di kepala hanya aku pendam. Tersentak aku apabila dia tiba-tiba menoleh memandangku dan dia senyum tawar ke arahku, tapi mengambil masa dua minit. Tak seperti selalu apabila dia memandangku, dengan pantas bibir merah itu memberi senyuman padaku. Kenapa hari ini dia lain macam? Apa yang Abi sudah katakan pada dia sehingga dia berkelakuan sebegitu?
Tiba-tiba, beberapa jururawat dan Doktor Hamid bergesa masuk ke bilik Abi. Jantungku mula berdegup kencang memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang bakal dikhabari oleh Doktor Hamid. Ya Allah... lindungilah Abi. Tanpa sedar air mataku menitis sambil menyentuh cermin di pintu bilik wad Abi. Abi... jangan tinggalkan Aqis. Kalau Abi tinggalkan Aqis, Aqis dah tak ada siapa-siapa lagi. Terasa bahu kiriku diusap lembut. Tidak perlu berpaling, aku sudah tahu siapa yang cuba memujukku.
"Sabar, Aqis. Abi Aqis kuat. Abi yang uncle kenal memang kuat orangnya." Pujuk dia dengan lembut. Aku hanya mampu mengangguk bersertakan dengan air mata mengalir.
"Dah mari kita duduk dulu, Aqis." Lengan aku ditarik mendekati kerusi yang disediakan oleh pihak hospital. Aku hanya mengikut arahannya tanpa banyak soal. Kini, hatiku hanya pada Abi saja. Terasa pegangan dia terlerai di lenganku dan mata aku masih melekat di pintu bilik wad Abi.
Melihat pintu di buka dari dalam dengan segera aku bangun dan mendapatkan Doktor Hamid. Melihat wajah tegang Doktor Hamid, aku boleh teka sesuatu yang buruk telah berlaku dekat Abi.
"Macam mana, Doktor?" Soal dia pada Doktor Hamid apabila aku hanya berdiri tegak memandang Doktor Hamid tanpa mengeluarkan sepatah perkataan.
Doktor Hamid menggeleng. "I minta maaf. Pesakit sudah dalam keadaan kritikal. Apa yang I boleh katakan sekarang, banyakkan berdoa agar Allah memberi pesakit lebih banyak masa untuk buat pembedahan."
Sebaik saja mendengar kata-kata Doktor Hamid, terus pandangan aku menjadi kelam. Hanya suara dia memanggilku sebelum pandanganku menjadi gelap.
*****
TERASA ubun-ubunku diusap lembut. Aku mengukir senyuman manis dan mengeratkan lagi pelukanku di lengan Abi. "Malulah kalau nurse tengok anak Abi peluk Abi macam ni. Anak Abi kan dah besar panjang. Mana boleh manja macam ni dengan Abi." Tegur Abi lembut.
Aku menggeleng. Tidak endah dengan terguran Abi, malah semakin erat aku peluk lengannya. Biarlah kali ini aku bermanja dengan Abi sepuas-puasnya. Bila teringat kembali apa yang dikatakan oleh Doktor Hamid tempoh hari, membuat dadaku terasa sesak. Tanpa kusedari, esakkan mula keluar dari ulas bibirku. Esakkanku semakin kuat apabila Abi mengucup lembut dahiku.
"Syhhh... janganlah macam ni. Aqis buat Abi tak senang hati. Macam mana Abi nak tinggalkan Aqis kalau Aqis berkeadaan macam ni?"
"Kalau macam tu, Abi janganlah tinggalkan Aqis. Abi tak sayangkan, Aqis?" Soalku sambil memandang wajah cengkung Abi. Abi tersenyum mendengar soalan aku.
"Siapa kata Abi tak sayang Aqis? Aqislah harta paling berharga Abi selepas arwah Ummi. Jangan cakap macam tu lagi ye, sayang?" Tangan kasar Abi mengelap air mata yang sudah mengalir di pipiku. Aku mengangguk.
"Aqis sayang Abi sangat-sangat." Ujarku dengan meletak kepalaku di bahu Abi.
"Abi pun."
"Assalamualaikum."
Serta merta aku berpaling dan dia tersenyum kearahku. Kali ini, senyuman dia seperti selalu. Ikhlas dan menawan. Tidak seperti sebelum-sebelum ni. Aku bangun dari katil dan duduk di kerusi. Malu dengan apa yang dia lihat tadi. Sudah besar panjang tapi masih nak bermanja dengan Abi. Namun, aku tak kisah sebab perasaan malu dengan Abi, aku masih mementingkan Abi dari perasaan malu.
"Waalaikummusalam... baru balik kerja, Haq?" Soal Abi di selang-selikan dengan batuk. Aku mengurut perlahan dada Abi.
Dia mengangguk dan duduk di birai katil.
"Susahkan kau aje kena ulang-alik sebabkan aku. Sejak dari dulu lagikan aku memang suka susahkan kau." Seraya berkata Abi ketawa.
"Ish... apa yang kau merepek ni? Tak adanya kau menyusahkan aku. Sejak dari dulu aku dah anggap kau macam abang aku." Perlahan dia menumbuk perut Abi. Aku hanya tersenyum melihat kemesraan mereka. Begitulah mereka ketika bergurau.
"Ir... aku dah buat keputusan..." Berkerut dahiku mendengar suara dia yang tiba-tiba berubah serius itu dan apabila aku melihat Abi, Abi turut menunjukkan wajah seriusnya juga.
"Aku setuju." Dengan dua patah perkataan dia, wajah Abi berubah ceria dan menggenggam erat tangannya.
"Terima kasih, Haq. Aku tak tahu nak kata apa lagi, cuma aku mampu ucapkan terima kasih aje." Ceria sungguh suara Abi ketika ini. Dia hanya mampu membalas genggaman Abi sambil mengangguk.
*****
AIR mata yang mengalir tidak dapat aku tahan-tahankan. Melihat kubur baru di hadapanku ini, menambahkan kesayuan di hatiku. Aku tidak percaya Abi sudah meninggal dunia. Masih terdengar suara Abi menikahkan aku. Masih terasa lagi pelukan erat Abi selepas menyerahkan tanggungjawab menjaga aku pada suamiku. Abi... Aqis akan sentiasa hidup bahagia seperti Abi ingankan. Terasa bahuku dipeluk erat dan terhambur juga tangisanku di dada suamiku.
"Jom..." Dia menarik aku melangkah bersama dia. Aku masih memandang kubur Abi sehingga masuk ke dalam kereta Honda Civic miliknya. Rasa berat hatiku untuk pergi meninggalkan Abi walau kini, Abi sudah berada di samping Ummi. Abi, Ummi... doakan Aqis, ye.
Aku berpaling apabila terasa tanganku digenggam kemas dan dia menghadiahkan senyuman manis. "Ada masa kita datang ziarah. Uncle.. Erkk... Abang akan bawa Aqis ziarah kubur Abi dengan Ummi setiap dua minggu sekali." Aku membalas senyuman tawar sambil mengangguk.
"Terima kasih, uncle.. eh! Abang."
Berkerut dahiku apabila ketawa dia meletus. Dia berhenti ketawa apabila dia perasan dengan pandangan pelikku. "Pelikkan keadaan kita sekarang. Dulu macam anak dengan ayah tapi sekarang suami isteri." Dia menggosok tengkoknya sebelum menekan pidal minyak.
Ya... memang pelik keadaan kami sekarang. Aku tidak sangka perbualan mereka tempoh hari adalah mengenai perkahwinan aku dengan dia. Mula-mula aku membantah juga kerana aku menganggap dia sebagai ayahku. Sebabnya selama ini, aku membesar di hadapannya. Macam mana Abi boleh berfikir perkara seperti itu? Tapi atas pujukkan Abi dan juga kasih sayangku pada Abi, aku turutkan jua.
Bila aku dengan dia berjalan bersama, pasti orang sekeliling akan beranggapan kami seperti ayah dan anak. Tak pun seperti abang dan adik kerana jarak usia kami hanya 18 tahun saja. Masa Abi nikah dengan Ummi, usia Abi baru saja 19 tahun dan Ummi pula 18 tahun. Betapa mudanya ketika itu Abi dengan Ummi mengharungi kehidupan selepas berumahtangga.
Namun, mendengar cerita dari dia. Abi dengan Ummi begitu bahagia walau hidup susah. Tapi sayang, kebahagian Abi dan Ummi hanya bertahan selama setahun setengah apabila Ummi kehilangan banyak darah ketika melahirkan aku dan doktor tidak dapat menyelamatkan nyawa Ummi. Dapatku bayangkan keadaan Abi masa tu, dengan kuliahnya, kerja part-time untuk menyara kami berdua dan belum lagi dengan menjaga aku ketika itu. Itu sebab aku begitu menyayangi Abi kerana jasanya membesarkanku tanpa rungutan.
Tersentak aku apabila pipiku dielus lembut dan aku berpaling memandang dia yang sedang tersenyum. "Jom..."
Dia keluar dari kereta dan mataku beralih kehadapan memandang banglo dua tingkat yang dulunya tempat paling kerap aku dengan Abi kunjung setiap hujung minggu. Kini, tempat ini akan menjadi tempat tinggalku untuk selamanya. Aku menoleh apabila pintu di tempatku dibuka dari luar dan senyuman dia menghiasi mataku selepas aku mendongak memandangnya.
"Rumah kita." Ujar dia selepas tutup pintu kereta.
Aku mengangguk dan mataku dengan dia terarah ke rumah banglo yang tersergam indah di hadapan kami. Rumah kita.
*****
"HAIII... boleh duduk sama?" Aku mengangkat muka, namun hanya seketika apabila melihat sengihan Arsyad di hadapanku. kalau aku kata tidak pun, bukannya pemuda ini akan faham. Malah buat-buat tak faham lagi.
"Study ke?"
Aku masih membisu. Soalan Arsyad aku biarkan sepi.
"Sombongnya dia..." Aku mengangkat muka dan memandang tajam kearah Arsyad. Rasa jelak dengan kelakuan Arsyad. Tidak jemukah pemuda ini mengangguku setiap hari? "... tapi orang suka."
Terasa getaran di poket seluarku menanda mesej masuk. Aku membuka peti masuk dan berkali-kali aku membaca kembali mesej yang kuterima sebentar tadi.
-Behave yourself, Aqis.
Apa maksud dia? Semakin keliru aku dengan sikapnya. Selama setahun kami menjadi suami isteri, bermacam-macam sikap dia membuat aku semakin tidak mengenali dia. Hampir setiap hari kami bergaduh dan ayat yang sentiasa meniti di bibirnya hanyalah 'Abang hanya menunaikan janji abang pada arwah Abi Aqis. Jaga Aqis sebaik-baiknya dan gembirakan Aqis setiap masa.'. Tapi apa yang aku dapat selama ini? Hanyalah sakit hati dihiris dengan sikapnya yang melayani aku acuh tak acuh dan perasaan cemburuku pada Doktor Herlina yang sentiasa berkepit bersama dia.
"Hello.." Tersentak aku apabila Arsyad memetik jari di hadapanku. Terus anak mataku mencari wajah Arsyad dan kelihatan, kerutan di dahi Arsyad melihat aku termenung.
"Dia tak sihat ke? Kalau nak, orang boleh hantar ke klinik."
Aku menggeleng. "Saya sihatlah. Kalau saya rasa tak sihat..."
"Doktor Haq Azmi tolong hantar dia pergi klinik." Cantas Arsyad. Terkebil-kebil mataku memandang Arsyad yang sudah tersengih.
"Orang dah hafallah apa yang dia nak cakap. Asyik Doktor Haq aje, taulah Doktor Haq tu abang..."
"Jom balik." Terkejut aku apabila lengan aku ditarik kasar oleh dia. Terhenti ayat Arsyad melihat aku berlalu begitu saja dengan dia. Aku memandang wajah tepinya yang beriak tegang itu. Apa yang buat dia angin tetiba ni? Aku mengeluh.
*****
SELEPAS peristiwa dia menarik aku di kafe universiti, sebolehnya aku cuba mengelak dari bertemu dengan Arsyad. Aku tidak dapat mengharungi amukan dia. Habis barang di dalam bilik, disepahkannya untuk melepaskan kemarahannya yang aku sendiri tidak tahu apa puncanya. Dan apabila dia memberi aku arahan supaya jauhkan diri dari Arsyad, aku hanya mengangguk tanpa banyak soal. Ketika itu, aku memang takut untuk memandang wajahnya.
"Balqis!"
Aku semakin mencepatkan langkahku meninggalkan dewan kuliah Perdana.
"Balqis!" Sekali lagi namaku di panggil, namun aku hanya memekakkan telinga.
"Balqis Faqihah!" Kali ini, nama penuhku di panggil.
Hampir terjatuh aku apabila beg sandangku ditarik dari belakang. Aku berpaling dan aku lihat Arsyad tercunggap-cunggap memandangku. Aku menarik beg sandangku. "Awak nak apa? Saya nak cepat!"
"Tak dengar ke orang panggil dia? Semput orang panggil dia. Orang nak bagi balik ni dekat dia." Berkerut dahiku melihat fail berwarna biru yang berada di tangan Arsyad. Macam mana boleh pada Arsyad? Arsyad buka ke? Mula peluh dingin menitik di dahiku. Terus dia memandang Arsyad yang sedang tersenyum.
"Orang dah tahu. Kenapa sembunyikan dekat orang? Kalau orang tahu dari awal, tak adanya orang kacau dia. Cakap dengan Doktor Haq, orang tak sengaja. Orang betul-betul tak tahu."
Aku mengangguk dan mengambil fail biru dari Arsyad. "Erkk... saya bukan sengaja tak nak bagitahu. Cuma, saya sendiri tak tahu nak cakap macam mana."
Arsyad mengangguk. "Orang tak kisah."
"Arsyad."
"Hrmm..."
"Jangan bagi..." Aku terdiam. Tidak pasti samada nak teruskan kata-kataku pada Arsyad.
"Orang takkan bagitahu sesiapa pun. Rahsia dia selamat dengan orang." Seraya mendengar kata-kata Arsyad aku tersenyum manis.
"Itu sebab orang suka dia." Jari telunjuknya menghala ke pipiku. Berkerut dahiku kerana tidak mengerti dengan kata-kata Arsyad.
"LP a.k.a Lesung batu... eh!! Lesung pipit."
Aku ketawa kecil.
"Kawan?"
"Kawan."
Ini kali pertama aku dengan Arsyad berbual tanpa perasaan menyampah atau meluat. Rupa-rupanya, Arsyad seorang pemuda yang baik. Cuma sikap nakal dan suka mengusiknya saja membuatku tak berapa berkenan dulu tapi sekarang, tidak.
"Okeylah... saya nak balik." Ujarku.
Arsyad mengangguk.
"Balqis!" Aku berpaling memandang Arsyad.
"Senyum selalu sebab awak nampak lagi cantik kalau tersenyum." Jerit Arsyad.
Terkaku aku mendengar jeritan Arsyad tu. Pelajar-pelajar yang sedang lalu-lalang memandang kami berdua dengan pelbagai pandangan. Dan dalam ramai-ramai pelajar yang lalu-lalang di susur jalan, aku dapat lihat betapa jelas renungan tajam dia di kaki lima koridor.





3 Batang lolipop untuk Cik MI:
best sesangat...
uncle hensem jeles la tu..
aqis ni cam tak pepaham plak..
hee
bestlah..nak lagi cik mi..
waa...
knape uncle hensem da brubah??
xnakla melenting2 camtu..
Catat Ulasan